Tuesday, December 20, 2011

MENINGGALKAN QUNUT SUBUH

MENINGGALKAN QUNUT SUBUH



Kebanyakan umat Islam di Malaysia berpendapat sekiranya sesiapa yang meninggalkan doa qunut pada solat Subuh secara sengaja seolah-olah dia telah melakukan satu perbuatan yang telah menyalahi syari’at dan menggugat kesempurnaan ibadah solat. Mereka melihat qunut Subuh ini seakan-akan ianya berstatus wajib dalam solat Subuh. Mereka seperti tidak mengerti bahawa di sisi mazhab al-Syafi’i sekalipun ianya hanyalah sunat mu’akad. al-Nawawi rahimahullah dalam kitabnya al-Adzkar (ms. 111) berkata: “Menurut mazhab kami (iaitu al-Syafi’i), qunut disyari’atkan pada solat Subuh dan hukumnya adalah sunat mu’akad”[1] Sebelum kita meneliti sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang sebenar mengenai qunut ini, seeloknya kita memahami pengertian qunut dahulu. Qunut dari segi bahasa bermakna berdiri. Di dalam al-Qur’an terdapat beberapa firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang boleh menjelaskan kepada kita makna qunut dengan lebih mendalam seperti:



...bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi,

semuanya itu tunduk di bawah kekuasaan-Nya (qaanituun) [2]



Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaan-Nya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum peraturan-Nya (qaanituun).[3]



(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat (qaanitun) mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya?[4]



...dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitab-Nya; dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat (al-qaanitiin).[5]



Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat Wusta (solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk. (qaannitiin)[6]



Manakala dalam hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam terdapat penjelasan baginda tentang qunut iaitu hadis daripada Jabir radhiallahu 'anh:



سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الصَلاَةِ أَفْضَلُ؟



قَالَ: طُولُ الْقُنُوتِ.



Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam pernah ditanya

pekerjaan solat yang manakah yang lebih utama?

Rasulullah menjawab: (Solat yang) panjang berdirinya (al-Qunut).[7]





Daripada ayat-ayat al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam di atas boleh kita katakan: “Qunut artinya khusyu’, selalu taat, doa, menghinakan diri kepada Allah, diam, tunduk, mengekalkan ibadah, lama berdiri dalam solat.[8] Qunut dalam ibadah solat adalah berdiri untuk berdoa sebelum rukuk (untuk qunut witir[9]) atau bangkit sesudah rukuk (qunut nazilah[10] dan qunut witir pada akhir pertengahan bulan ramadhan). Bagi mereka yang bermazhab al-Syafi’i qunut juga diamalkan setelah bangkit dari rukuk pada solat Subuh yang dilakukan secara berterusan setiap hari.

Dalil disyari’atkan doa qunut dalam solat sunat witir adalah hadis berikut:



Hasan bin Ali radhiallahu 'anhuma berkata, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah mengajarkan aku beberapa kalimat yang harus aku ucapkan di dalam solat witir, iaitu:



اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ



وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ



إِنَّكَ تَقْضِي وَلاَ يُقْضَى عَلَيْكَ وَإِنَّهُ لاَ يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ



وَلاَ يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.



Ya Allah, tunjukilah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan petunjuk,

sejahterakanlah aku ke dalam golongan orang yang Engkau telah berikan kesejahteraan,

sayangilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau sayangi,

berkatilah aku ke dalam golongan orang yang telah Engkau berkati,

hindarilah aku dari segala bahaya yang telah Engkau tetapkan.

Sesungguhnya Engkaulah yang menentukan dan bukan yang ditentukan,

Sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau lindungi

dan tidak akan menjadi mulia orang yang Engkau musuhi.

Engkau wahai Tuhan adalah Maha Mulia serta Maha Tinggi. [11]





Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar cucunya untuk membaca doa qunut di atas dalam solat witir, bererti membaca doa qunut ketika solat witir adalah sesuatu yang disyari’atkan. Manakala dalil disyari’atkan doa qunut nazilah dalam solat fardhu adalah hadis berikut daripada Abdullah ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma:





قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا



فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ



كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ مِنْ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ



يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ



وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.



Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah berqunut sebulan berturut-turut

dalam solat Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu dalam rakaat terakhir

ketika i’tidal sehabis mengucapkan “Samiallahuliman hamidah”.

Di situ baginda berdoa untuk kebinasaan Bani Sulaim, Ra’al, Dzakwan dan Ushaiyah, sedang makmum yang di belakangnya mengaminkan doa itu.”[12]





Sementara itu Anas bin Malik radhiallahu’anh juga telah berkata:



أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَقْنُتُ



إلاَّ إذَا دَعَا الْْقَوْمِ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.



“Bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidaklah pernah berdoa selepas

(bangun daripada rukuk) kecuali untuk memohon kebaikan kepada orang ramai

atau mengutuk sesetengah kaum itu.”[13]





Bersandarkan dalil-dalil di atas, telah bersepakat ulama’ Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah akan sunnahnya doa qunut witir dan qunut nazilah. Sedangkan qunut secara berterusan dalam solat Subuh, ulama’ berbeza pendapat kesunnahannya.[14] Yang lebih tepat menurut Sayyid Sabiq rahimahullah adalah:

Qunut dalam solat Subuh itu tidak disyari’atkan kecuali apabila terjadi bahaya (iaitu membaca qunut nazilah – pen). Dan kalau terjadi bahaya itu, maka bukan hanya dalam solat Subuh sahaja disunatkan berqunut, tetapi juga di dalam semua solat fardhu yang lain sebagaimana yang diterangkan di atas.[15]



Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya radhiallahu’anhum tidak mengerjakan qunut Subuh secara terus-menerus sepanjang hayat mereka melainkan jika terjadi sesuatu musibah maka mereka membacakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu termasuk solat Subuh. Berkata Anas bin Malik radhiallahu 'anh:



أنَّ النَِّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ كَانَ لاَ يَقْنُتُ فِي صَلاَةِ الصُّبْحِ



إِلاَّ إِذَا دَعَا لِقَوْمٍ أَوْ دَعَا عَلَى قَوْمٍ.



Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam itu tidak pernah berqunut

dalam solat Subuh kecuali untuk mendoakan kebaikan bagi sesuatu kaum (muslimin) atau mendoakan kebinasaan sesuatu kaum (kafir) (iaitu qunut nazilah – pen).[16]







عَنْ أَبِي مَالِكٍ الأَشْجَعِيِّ قَالَ, قُلْتُ لأَبِي:



يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ



هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُون؟َ



قَالَ: أَيْ بُنَيَّ مُحْدَثٌ.



Abi Malik al-Asyja’i berkata, saya bertanya kepada ayahku:

“Wahai bapaku! Sesungguhnya engkau pernah bersolat di belakang Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali bin Abi Thalib di Kufah selama lima tahun, apakah mereka melakukan qunut?”

Jawab ayahku: “Hai anakku! Itu adalah perbuatan bid’ah! [17]





Dari dalil-dalil di atas dapatlah kita fahami bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu’anhum tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh melainkan qunut nazilah. Maka bukanlah satu kesalahan yang besar bagi mereka yang berpendapat qunut Subuh itu tidak disyari’atkan lalu mereka meninggalkannya. Tidak perlu untuk sujud sahwi sekiranya meninggalkan qunut Subuh samada dengan sengaja mahupun tidak sengaja. Apa sepatutnya yang lebih diutamakan sekarang ini ketika musibah dan bencana melanda umat Islam di serata dunia[18] adalah mengerjakan qunut nazilah dalam solat-solat fardhu memandangkan ianya memang telah disepakati pengsyari’atannya. Namun begitu apa yang menghairankan qunut nazilah ini jarang-jarang dikerjakan walaupun keadaan umat Islam di seluruh dunia begitu terhimpit sekarang ini. Abu Ubaidah menegaskan:

Membaca doa qunut (nazilah – pen) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum musimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir.[19]



Oleh itu marilah kita menyuburkan semula sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang semakin jarang-jarang diamalkan di Malaysia iaitu membaca qunut nazilah. Semoga doa-doa kita dimakbulkan Allah Subhanahu wa Ta'ala dan dapat membantu meringankan beban saudara-saudara seagama kita serta menghancurkan musuh-musuh Islam.[20]











[1] Dinukil daripada buku Hafiz Firdaus Abdullah, Menangani Persoalan Qunut: Dibaca Atau Tidak?, (Jahabersa, Johor Bahru, 1999), ms. 58.

[2] al-Baqarah (2): 116

[3] al-Ruum (30): 26

[4] al-Zumar (39): 9

[5] al-Tahriim (66): 12

[6] al-Baqarah (2): 238

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 756.

[8] Definisi ini dinukil daripada kitab al-Masaa-il karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, jld.1, ms. 235

[9] Qunut Witir adalah doa qunut yang dibacakan dalam solat sunat witir.

[10] Qunut Nazilah adalah doa qunut yang dibacakan selepas bangkit dari rukuk dalam rakaat terakhir dalam mana-mana solat fardhu ketika umat Islam menghadapi bahaya, bencana atau bala.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 1425. al-Nawai juga mensahihkannya dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 472. Juga dikeluarkan oleh al-Nasai dengan tambahan selawat pada akhir doa akan tetapi ini adalah dhaif sebagaimana nilai al-Albani dalam Dhaif Sunan al-Nasai – hadis no: 1746.

[12] Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan berkata al-Nawawi dalam al-Majmu’, jld. 3, ms. 482: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang hasan atau sahih.” Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no. 1443.

[13] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya – hadis no. 620 dan sanadnya dinilai sahih oleh Muhammad Musthafa al-‘Azhami dalam semakannya ke atas kitab tersebut. Juga dikeluarkan oleh Ibn al-Jauzi dalam al-Tahqiq fi Masa’il al-Khilaf, hadis no. 774. Berkata al-Zahabi dalam Tanqih al-Tahqiq: “Sanadnya sahih, diriwayatkan oleh al-Khatib dalam Kitab al-Qunut.”

[14] Penulis tidak bercadang untuk memperdebatkan secara mendalam tentang kelemahan hadis-hadis berkaitan dengan doa qunut dalam solat Subuh kerana objektif penulisan bab ini hanyalah untuk menerangkan kenapa ada pihak yang tidak berqunut Subuh. Sekiranya pembaca budiman berminat untuk mengkaji dengan lebih lanjut, sila dapatkan buku “Menangani Persoalan Doa Qunut: Dibaca Atau Tidak?” oleh Hafiz Firdaus Abdullah terbitan Jahabersa.

[15] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.2, ms. 43

[16] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Hibban sebagaimana dinyatakan oleh al-Zaila‘i (الزيلعي) dalam Nasb al-Rayah (نصب الراية) fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.2, mukasurat 145. Juga disandarkan kepada Ibn Hibban oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dan beliau mensahihkan sanadnya. Rujuk al-Dirayah fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld.1, mukasurat 195. Ibn al-Humam juga mensahihkan sanadnya, rujuk Fath al-Qadir Syarh al-Hidayah, jld.1, mukasurat 433-434.

Hadis sahih ini menggambarkan pegangan sebenar Anas bin Malik radhiallahu ‘anh berkaitan Qunut Subuh. Oleh itu hadis ini secara tidak langsung menolak sebuah hadis yang sering digunakan sebagai hujah untuk berqunut Subuh daripada Anas radhiallahu ‘anhu yang tidak sahih iaitu,



مَا زَالَ رَسُولُ الله صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّ فَرَقَ ألدُّنْيَا.

“Senantiasa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berqunut pada solat Subuh sehingga baginda wafat.” (Hadis riwayat Ahmad, Baihaqi, Daruquthni, Hakim, Abdur Razzaq dan Abu Nu’aim). Kelemahan hadis ini terletak pada sanadnya yang terdapat seorang perawi bernama Abu Ja’far al-Razi (Nama aslinya Abu Ja’far Isa bin Mahan al-Razi) yang telah dilemahkan oleh imam-imam hadis seperti Ahmad bin Hanbal, Abu Zur’ah, al-Fallas, Ibnu al-Madini, Ibnu Hibban, Ibnu Taymiyyah, Ibnu al-Qayyim, Ibnu Kathir, al-Zaila’i dan tokoh hadis abad ini, Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahumullah. al-Nawawi rahimahullah juga mengakui kelemahannya namun beliau menyatakan hadis Anas tersebut mempunyai penguat dari beberapa hadis-hadis lain yang beliau anggap sahih. Namun sebenarnya hadis-hadis tersebut kesemuanya memiliki kecacatan yang berat dalam sanad sehingga tidak dibolehkan dijadikan penguat. Yazid bin Abdul Qadir Jawas telah membuktikan dengan jelas tentang kelemahan kesemua hadis-hadis tersebut dalam sebuah artikel bertajuk “Semua Hadits Tentang Qunut Shubuh Terus Menerus Adalah Lemah” dalam buku beliau Ar-Rasaail, Jld.1, (Pustaka Abdullah, Jakarta, 2004). Silalah rujuk perbahasan beliau yang begitu mendalam tentang isu ini.

Jelas di sini terdapat dua hadis daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh yang bercanggah antara satu sama lain. Antara kaedah untuk mengatasi masalah hadis-hadis yang kelihatan bercanggah ialah jika hadis yang bercanggah tersebut adalah antara hadis yang kuat (sahih atau hasan) dengan hadis yang lemah (dhaif atau mawdhu’), maka percanggahan itu dapat diatasi dengan mengunggulkan hadis yang kuat dan menolak hadis yang lemah. Untuk mendalami kaedah-kaedah menangani hadis-hadis bercanggah sila rujuk buku karya Hafiz Firdaus Abdullah bertajuk ‘Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah’ yang diterbitkan oleh Jahabersa, Johor Bahru, 2003.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”. Dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no. 402.

[18] Antara musibah yang sedang melanda umat Islam sehingga memerlukan qunut nazilah adalah kekejaman rejim Zionis di Palestine, pencerobohan tentera kuffar di negara-negara Islam seperti di Iraq dan Afghanistan, penindasan umat Islam di India, Filipina, Wilayah Selatan Thailand, kesengsaraan umat Islam di benua Asia yang dilanda ombak Tsunami dan lain-lain. Semoga Allah Ta’ala melindungi pejuang-pejuang Islam yang sedang berjuang di seluruh dunia. Ameen Ya Rabb al-‘Alameen.

[19] Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 136- 137.

[20] Catitan penyunting: Para tokoh Mazhab al-Syafi’i menekankan bahawa terdapat hadis-hadis sahih yang menerangkan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam membaca doa qunut Subuh. Doa qunut ini adalah doa yang umum, bukan qunut nazilah. Saya berkata:

Darjat hadis-hadis tersebut masih terbuka kepada perbincangan sama ada sahih atau tidak.

Seandainya sahih, maka hadis-hadis tersebut yang bersifat umum diperincikan oleh hadis-hadis yang menerangkan bahawa doa tersebut ialah qunut nazilah dan dibaca apabila umat Islam ditimpa musibah.

Adapun doa qunut yang lazim dibaca sekarang ini, ia sepatutnya dibaca ketika solat witir dan bukannya solat Subuh. Petunjuk Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah amat jelas dalam hal ini.

MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK KETIKA TASYAHHUD (TAHIYAT)

MENGGERAKKAN JARI TELUNJUK
KETIKA TASYAHHUD (TAHIYAT)



Antara amalan sunnah dalam solat yang semakin dilupakan di Malaysia adalah menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud awal dan akhir. Kerana perbuatan tersebut begitu asing, maka ada di antara umat Islam di Malaysia yang menuduh amalan tersebut tidak dicontohkan daripada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam malah boleh membatalkan solat kerana terdapat pergerakan lebih dari tiga kali.

Untuk kita meneliti sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang sebenar dalam isu gerak atau tidak menggerakkan jari ketika tasyahhud ini, akan penulis paparkan beberapa hadis yang berkaitan.



عَنْ عَامِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ عَنْ أَبِيهِ:



أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا قَعَدَ فِي التَّشَهُّدِ



وَضَعَ كَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخِذِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِالسَّبَّابَةِ



لاَ يُجَاوِزُ بَصَرُهُ إِشَارَتَهُ.



Daripada ‘Amir bin Abdullah bin al-Zubair, daripada ayahnya, (dia berkata), “Apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam duduk tasyahud,

baginda meletakkan telapak tangan kirinya di atas paha kira baginda

dan jari telunjuk (tangan kanan) dihalakan (ke kiblat).

Mata baginda tidak terlepas daripada memandang ke arah ibu jarinya.”[1]







عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الزُّبَيْرِ



أَنَّهُ ذَكَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



كَانَ يُشِيرُ بِأُصْبُعِهِ إِذَا دَعَا وَلاَ يُحَرِّكُهَا.



Abdullah bin Zubair radhiallahu’anh berkata:

“Bahawasanya Nabi shalallahu 'alaihi wasallam,

adalah baginda ketika berdoa (tasyahhud),

beliau mengisyaratkan dengan jarinya dan tidak menggerak-gerakkannya.”[2]







أَنَّ وَائِلَ بْنَ حُجْرٍ أَخْبَرَهُ قَالَ:قُلْتُ لأَنْظُرَنَّ إِلَى صَلاَةِ



رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَيْفَ يُصَلِّي فَنَظَرْتُ إِلَيْهِ



فَقَامَ فَكَبَّرَوَرَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى حَاذَتَا بِأُذُنَيْهِ ...



ثُمَّ قَبَضَ اثْنَتَيْنِ مِنْ أَصَابِعِهِ وَحَلَّقَ حَلْقَةً



ثُمَّ رَفَعَ إِصْبَعَهُ فَرَأَيْتُهُ يُحَرِّكُهَا يَدْعُو بِهَا.



Dari Wail bin Hujur dia berkata:

Sesungguhnya betul-betul aku telah melihat bagaimana caranya

Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam mendirikan solat.

Aku melihat baginda berdiri kemudian bertakbir sambil mengangkat kedua tangannya sehingga setentang dengan kedua telinganya.

Kemudian beliau duduk (tasyahhud), kemudian baginda membuat satu lingkaran bulat (dengan kedua-dua jarinya iaitu jari tengah dan ibu jarinya) kemudian baginda mengangkat jari telunjuknya, maka aku melihat baginda terus menggerak-gerakkan jarinya dan baginda berdoa dengannya.”[3]







عَنْ وَائِلِ بْنِ حُجْرٍ قَالَ: رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



قَدْ حَلَّقَ بِالإِبْهَامِ وَالْوُسْطَى وَرَفَعَ الَّتِي تَلِيهِمَا يَدْعُو بِهَا



فِي التَّشَهُّدِ.



Dari Wail bin Hujur, dia berkata: “Aku melihat

Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya,

dia mengangkat (jari telunjuk) yang dekat keduanya,

baginda berdoa dengannya pada waktu tasyahhud.”[4]







فَقَالَ أَبُو حُمَيْدٍ أَنَا أَعْلَمُكُمْ بِصَلاَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَلَسَ يَعْنِي لِلتَّشَهُّدِ



فَافْتَرَشَ رِجْلَهُ الْيُسْرَى وَأَقْبَلَ بِصَدْرِ الْيُمْنَى عَلَى قِبْلَتِهِ



وَوَضَعَ كَفَّهُ الْيُمْنَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُمْنَى



وَكَفَّهُ الْيُسْرَى عَلَى رُكْبَتِهِ الْيُسْرَى وَأَشَارَ بِأُصْبُعِهِ يَعْنِي السَّبَّابَةَ.



Abu Humaid radhiallahu’anh berkata: “Akulah orang yang paling tahu di antara kalian tentang cara solat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, (kemudian dia menerangkan), sesungguhnya Rasulullah duduk

(untuk tasyahhud) baginda hamparkan kaki kirinya,

dan baginda hadapkan kaki kanan ke arah kiblatnya,

dan baginda letak telapak kanannya di lutut kanan

dan telapak kirinya di lutut kiri,

lalu baginda berisyarat dengan jarinya yakni jari telunjuk.”[5]





Ini adalah beberapa contoh sifat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ketika bertasyahhud. Ternyata ada hadis yang menunjukkan baginda hanya menunjuk dengan jari telunjuknya tanpa menggerakannya dan ada juga hadis yang menunjukkan beliau menggerak-gerakkannya secara berterusan sehingga memberi salam.

Hadis riwayat Abdullah bin Zubair radhiallahu’anh secara jelas menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam hanya menunjuk dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkannya sebagaimana lafaz hadis tersebut “beliau mengisyaratkan dengan jarinya dan tidak menggerak-gerakkanya.”

Manakala tentang Hadis dari Wail bin Hujur radhiallahu’anh, Abu Ubaidah menyatakan:

Inilah riwayat sahih yang menerangkan tentang pergerakan jari telunjuk ketika solat (dalam tasyahhud – pen). Di dalam hadis di atas disebutkan bahawa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam “Yuharriku ashaabi’ahu (terus menggerak-gerakkan jarinya)”. Kata Yuharriku di atas menggunakan fi’il mudhaari’ (kata kerja yang digunakan untuk masa sekarang dan akan datang). Dalam kaedah tatabahasa arab, fi’il mudhaari’ memiliki pengertian istimrar, iaitu perbuatan yang dilakukan secara terus-menerus. Jadi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah menggerakkan jarinya secara terus-menerus hingga beliau melakukan salam.[6]



Manakala hadis-hadis yang menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berdoa dengan jari telunjuknya dan berisyarat dengan jari telunjuknya maka ada ulama’ yang menafsirkan ia sebagai tidak menggerakkan dan ada juga ulama’ yang menafsirkan sebagai menggerak-gerakkan jari telunjuk. al-Albani rahimahullah umpamanya telah berpendapat bahawa hadis-hadis tentang tasyahhud yang menyatakan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam berisyarat dengan jari telunjuknya membuktikan baginda shalallahu 'alaihi wasallam menggerak-gerakkannya. Beliau telah menyatakan:

Isyarat yang diterangkan oleh riwayat-riwayat ini bukanlah nas (dalil) yang meniadakan tahrik (menggerak-gerakkan jari telunjuk ketika tasyahhud), kerana menurut dari segi bahasa, kelaziman isyarat itu disertai gerakan. Misalnya, seseorang akan memberi isyarat: ‘Dekatlah kepadaku’ (dengan menggunakan tangan – pen) kepada seseorang yang jauh. Dan memberi isyarat ‘duduklah’ (dengan menunjuk ke tempat duduk – pen) kepada orang yang sedang berdiri. Pada ilustrasi di atas, tidak seorangpun memahami bahawa orang (yang memberi isyarat – pen) di atas tidak menggerakkan tangannya. Mengapa kita perlu pergi begitu jauh. Contoh yang paling baik yang akan kami sampaikan kepada pembaca ialah hadis dari ‘Aisyah mengenai solat para sahabat di belakang Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sambil berdiri. Sedangkan baginda duduk. Beliau memberi isyarat ‘Duduklah’ kepada para para sahabat. Hadis ini disepakati kesahihannya.[7] Setiap orang yang berakal tentu tahu bahawa isyarat Nabi tidak sekadar mengangkat tangan seperti ketika Nabi menjawab salam kaum Ansar dan beliau sedang solat. Isyarat ini tentu disertai gerakan tangan. Kerana itu, tidak selayaknya kita memahami bahawa riwayat-riwayat ini bertentangan dengan riwayat tahrik, tetapi justeru ada kesesuaian.[8]



Tambah al-Albani rahimahullah lagi:

Di antara riwayat yang menguatkan pendapat di atas adalah hadis sahih mengenai isyarat Nabi dengan jari telunjuknya dalam khutbah Jumaat sebagaimana diriwayatkan oleh Muslim dan yang lainnya dan ditakhrij dalam al-Irwa’ (II/77). Adalah satu kelaziman bahawa Nabi menggerakkan telunjuknya sebagai isyarat ketauhidan, bukan sekadar isyarat tanpa menggerakkan telunjuk. Hal ini disaksikan oleh riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya (II/35) dengan sanad dha’if (lemah) dari Sahl bin Saad, seperti hadis Imarah dengan lafaz:


وَاَشَارَ بأُصْبُعِهِ السَّبَّابَةِ يُحَرِّكُهَا.



Dan Nabi memberi isyarat dengan jari telunjuknya sambil menggerakkannya.



Ibnu Khuzaimah mentafsirkan hadis Imarah ini dengan menyatakan: “Bab Isyarat khatib di atas mimbar dengan telunjuk ketika berada dalam khutbahnya dan menggerakkannya ketika memberi isyarat itu.[9]



Tentu ramai yang tertanya-tanya mengenai amalan kebiasaan umat Islam di Malaysia ketika tasyahhud yang hanya mengangkat jari telunjuk ketika إِلاَّ اللَّهُ illallah (dari kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُlaa ilaaha illallah) ketika bersyahadah. Sebenarnya amalan ini tidak ada contohnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, para sahabat, tabi’in dan tabi’ut at-Tabi’in malah amalan ini juga bukannya ajaran al-Syafi’i rahimahullah atau mana-mana ulama’ bermazhab Syafi’i sebelum kurun ke 5 hijrah. al-Syafi’i rahimahullah di dalam kitabnya al-Umm berpendapat jari telunjuk diangkat secara terus-menerus dari awal hingga akhir tasyahhud:

Dia menghamparkan tangannya yang kiri atas pahanya yang kiri. Dia menggenggam anak jari tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan, selain telunjuk dan ibu jari. Dan dia menunjukkan (mengisyaratkan) dengan telunjuk.[10]



Al-Syafi’i rahimahullah juga membawa riwayat dari Ibnu Umar radhiallahu’anhuma lalu beliau berkata:

Adalah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam apabila beliau duduk dalam solat (ketika tahiyat – pen), beliau meletakkan telapak tangannya yang kanan atas pahanya yang kanan. Beliau menggenggam seluruh anak jarinya dan beliau mengisyaratkan dengan anak jarinya yang mengiringi ibu jari (telunjuk). Dan beliau meletakkan telapak tangannya yang kiri di atas pahanya yang kiri.[11]



Demikianlah pendapat sebenar al-Syafi’i rahimahullah dalam hal ini. Pendapat beliau ini juga disokong oleh fuqaha’ Syafi’iyyah seperti al-Baihaqi, al-Mawarzi dan al-Mawardi rahimahumullah. Malah al-Mawardi (dilahirkan di Basrah pada tahun 364 H) menyatakan dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir Syarah Mukhtasar al-Muzani (jld. 2, ms. 132-133) bahawa fuqaha’ Syafi’iyyah pada zamannya mengamalkan kedua-dua pendapat iaitu menggerak-gerakkan jari telunjuk dan tidak menggerakkannya secara terus dari awal sehingga salam. Tidak ada pendapat bahawa mereka mengangkat jari hanya ketika menyebut kalimah إِلاَّ اللَّهُ illallah dalam tasyahhud.[12] Semoga dengan pendedahan ini umat Islam di Malaysia akan kembali kepada mazhab al-Syafi’i rahimahullah yang sebenar, yang sentiasa tegar atas sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sesuai dengan gelaran beliau sebagai al-Nashir al-Sunnah (pembela sunnah). Umat Islam di Malaysia harus membuang sikap taklid buta terhadap amalan yang mereka warisi secara turun-temurun dan sepatutnya melakukan usaha yang gigih untuk meneliti sunnah-sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Amalan hanya bertaklid buta kepada amalan nenek moyang ini telah dicela dengan keras oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firmannya:



Dan apabila dikatakan kepada mereka:

"Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran)

dan kepada Rasul-Nya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab:

"Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?[13]



Dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta);

Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran,

melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama

dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata: Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya? Mereka menjawab:

Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya. Lalu Kami balas keingkaran mereka dengan azab yang membinasakan;

maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulnya.[14]





Tentang dakwaan mereka bahawa menggerak-gerakkan jari telunjuk secara berterusan dalam tasyahhud boleh membatalkan solat kerana terdapat pergerakkan lebih dari tiga kali, berkata al-Nawawi rahimahullah dalam Syarh al-Muhadzdzab (jld. 3, ms. 454):

Haram hukumnya menggerak-gerakkan jari ketika solat. Jika tetap menggerakkannya maka solatnya menjadi batal. Pendapat ini diceritakan dari Abu Ali ibn Abu Hurairah. Namun pendapat tersebut dianggap syadz (bertentangan dengan dalil yang lebih sahih) dan dha’if (lemah).[15]



Kemudian al-Nawawi berkata lagi:

Disunnahkan menggerakkan jari ketika solat. Hal ini diceritakan oleh Syaikh Abu Hamid, al-Bandaniji dan al-Qadhi Abu al-Thayyib serta beberapa ulama’ lainnya. Pendapat ini didasarkan pada hadis Wail bin Hujur: “kemudian beliau mengangkat jari telunjuknya, maka aku melihat baginda terus menggerak-gerakkan jarinya dan beliau berdoa dengannya.” Hadis riwayat al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.[16]



Maka menurut al-Nawawi, dakwaan terbatalnya solat dengan gerakan sebanyak tiga kali itu tidak ada dasarnya dari hadis Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan sepatutnya kita menolak dakwaan semacam ini. Jadi telah jelaslah bagi kita bahawa amalan tahrik ini memang ada dasarnya melalui hadis-hadis dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata al-Albani rahimahullah:

Menggerakkan jari telunjuk dalam tasyahhud merupakan perbuatan yang sah dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, dilakukan oleh Ahmad dan imam-imam Ahl al-Hadis yang lainnya. Oleh kerana itu, hendaklah takut kepada Allah bagi orang yang beranggapan bahawa perbuatan ini sia-sia, tidak patut dilakukan dalam solat. Kerana anggapan itu mereka tidak mahu menggerakkan telunjuknya dalam solat, padahal mereka tahu riwayatnya sah. Mereka mencari-cari alasan untuk mentakwilnya (memberi tafsiran lain – pen) dengan menyalahi ketentuan bahasa Arab dan pengertian yang difahami para imam.[17]



Kesimpulannya, dalam bertasyahhud, Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam menggerak-gerakkan jari telunjuknya secara berterusan dan sesekali beliau hanya menunjuk jari telunjuknya ke arah kiblat tanpa menggeraknya dari awal hingga salam. Oleh itu kedua-duanya mempunyai dalil yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Maka bebas bagi umat Islam memilih untuk beramal antara kedua-duanya tanpa ragu-ragu. Manakala amalan mengangkat jari telunjuk ketika إِلاَّ اللَّهُ illallah (dari kalimah لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُlaa ilaaha illallah) ketika bersyahadah sememangnya tidak memiliki dalil yang sahih serta ianya bukan dari ajaran al-Syafi’i rahimahullah. Maka sewajarnya pembaca-pembaca yang budiman melakukan penilaian semula ke atas amalan tersebut.







[1] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1275.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, hadis no. 989 dan berkata al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435: “Sanadnya sahih.” Lebih lanjut tentang darjat hadis ini, rujuk buku saya Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah (Jahabersa, Johor Bahru, 2002), ms. 118.

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 889. Berkata al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435: “Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan sanad yang sahih.”

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no. 912.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 293.

[6] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 168.

[7] Hadis yang dimaksudkan oleh al-Albani adalah seperti berikut:



صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهِ وَهُوَ شَاكٍ فَصَلَّى جَالِسًا وَصَلَّى وَرَاءَهُ قَوْمٌ قِيَامًا فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ أَنْ اجْلِسُوا.

Rasulullah solat di rumahnya, baginda di dalam keadaan kesulitan, maka baginda solat duduk, para sahabat solat di belakangnya berdiri, maka baginda memberi isyarat kepada mereka (untuk solat) duduk. (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 688)

[8] Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, jld.1, ms. 268.

[9] Muhammad Nashiruddin al-Albani, Tamamul Minnah, jld.1, ms. 268.

[10] Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 277.

[11] Al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 277.

[12] Untuk melihat perbahasan yang bermanfaat tentang hal ini sila rujuk kupasan yang begitu baik dari Saudara Hafiz Firdaus Abdullah dalam bukunya Kaedah Memahami Hadis-Hadis Yang Saling Bercanggah, ms. 124-129.

[13] al-Maaidah (5): 104

[14] al-Zukhruf (43): 23-25

[15] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 172.

[16] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 172.

Catitan penyunting: Walaubagaimanapun perlu diketahui bahawa pendapat yang dikuatkan oleh al-Nawawi ialah tidak menggerakkannya. Beliau berkata: “Yang benar adalah apa yang diputuskan oleh jumhur bahawa ia tidak digerak-gerakkan. Jika digerakkan maka ia adalah makruh namun tidak membatalkan solat disebabkan ia adalah perbuatan yang kecil/sedikit.” Adapun riwayat Wail bin Hujur berkenaan digerak-gerakkan jari telunjuk, maka al-Nawawi cenderung kepada takwilan al-Baihaqi bahawa yang dimaksudkan adalah isyarat dan bukannya pergerakan berulang-ulang.” Rujuk Al-Majmu’, jld. 3, ms. 435.

[17] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 196.

TAMBAHAN SAYYIDINA DALAM SELAWAT

TAMBAHAN SAYYIDINA DALAM SELAWAT



Bagi masyarakat Islam di Malaysia, amalan kebiasaan yang dilakukan ketika pembacaan selawat dalam tasyahhud atau ketika berdoa akan dilafazkan perkataan sayyidina (tuan kami) sebelum nama Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam sebagai tanda penghormatan kepada baginda. Bagi mereka yang enggan menambah perkataan tersebut di dalam tasyahhud ketika bersolat atau ketika berdoa seringkali dituduh sebagai golongan yang tidak menghormati atau mencintai Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.

Memang telah disepakati oleh semua ulama’ bahawa selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam merupakan satu perintah dari Allah ‘Azza Wa Jalla sebagaimana firman-Nya:



Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.[1]



Menurut al-Albani rahimahullah:

Pengertian selawat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang paling baik adalah seperti yang di kemukakan oleh Abu ‘Aliyah, iaitu Allah berselawat kepada Nabi maksudnya Allah memuji dan memuliakannya. Malaikat berselawat kepada Nabi maksudnya mereka memohon kepada Allah untuk mengurniakan kedudukan terpuji dan terhormat kepada beliau. Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Baari mengemukakan suatu pendapat yang popular tentang makna Allah berselawat kepada Nabi ialah Allah memberi rahmat kepadanya.[2]



TM Hasbi al-Shiddiquey rahimahullah pula berkata:

“Adapun pengertian kita berselawat kepada Nabi ialah mengakui kerasulannya serta memohon kepada Allah semoga Allah melahirkan atau mengurniakan keutamaan dan kemuliaan kepada baginda.” [3]



Selanjutnya al-Syafi’i rahimahullah menulis:

Maka tidak adalah berselawat pada tempat yang lebih utama daripada dalam solat. Kami mendapat petunjuk dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dengan yang saya terangkan, bahawa selawat kepada Rasul-Nya shalallahu 'alaihi wasallam itu fardhu dalam solat.[4]



Oleh itu jelaslah bagi kita bahawa berselawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah satu perkara yang disyari’atkan di dalam solat. Maka ada baiknya untuk kita meneliti hadis-hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang mengajar kita mengenai tatacara untuk berselawat yang boleh dimanfaatkan dalam bacaan tasyahhud. Mempelajari cara Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan mengamalkannya adalah satu kaedah yang dituntut dalam Islam kerana beliau merupakan contoh ikutan yang terbaik bagi kita semua sebagaimana firman Allah ‘Azza Wa Jalla:



Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut

dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[5]





Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:[6]



Pertama:

Abdurrahman bin Abi Lailah berkata: “Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: “Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam?” Jawabku: “Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku!” Dia berkata: “Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahlul bait, kerana sesungguhnya Allah telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)?” Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kalian:





اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.



“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.

Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [7]





Kedua:

Dari Musa bin Talhah, dari bapanya (iaitu Thalhah bin ‘Ubaidullah) dia berkata: “Kami (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu?” Baginda bersabda: Ucapkanlah oleh kalian:





اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ



وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَآلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.



“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.

Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.)” [8]





Ketiga:

Dari Abi Mas’ud al-Anshari, dia berkata: “Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam datang kepada kami sedang kami berada di majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: “Allah Ta’ala telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu?” Kata Abi Mas’ud: “Maka Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda: Ucaplah oleh kalian:





اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ



وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ



كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ



فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.



“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim,

Ya Allah, berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, atas seluruh alam

sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”[9]





Keempat:

Abu Humaid al-Saa’idi dia berkata: “Bahawasanya mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana (caranya) kami berselawat kepada mu?” Jawab baginda: Ucapkanlah oleh kalian:





اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ



وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَأَزْوَاجِهِ وَذُرِّيَّتِهِ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.



“Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.)” [10]



Selain dari selawat-selawat di atas terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang boleh kita dapati dari hadis-hadis yang sahih dari baginda yang boleh dimanfaatkan dalam bacaan untuk tasyahhud.[11] Maka sewajarnya kita mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar sendiri oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Ini sesuai dengan anjuran baginda sendiri untuk mengikuti hanya baginda di dalam ibadah solat sebagaimana sabdanya: “Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[12]

Setelah membaca hadis-hadis di atas mungkin para pembaca akan tertanya-tanya tentang perbezaan lafaz selawat dalam bacaan tasyahhud awal dan tasyahhud akhir (bagi solat yang lebih dari 2 rakaat). Keumuman hadis-hadis tentang lafaz selawat ini menunjukkan tidak ada perbezaan bacaannya dalam kedua-dua tasyahhud. Inilah juga pendapat al-Syafi’i rahimahullah dalam kitab al-Umm: “Bacaan selawat pada tasyahhud awal dan tasyahhud kedua adalah sama, tidak ada perbezaan.”[13] Semoga mereka yang mengaku bermazhab al-Syafi’i memperhatikan perkara ini demi untuk menjaga kesempurnaan tasyahhud dalam solat.

Setelah kita meneliti hadis-hadis yang sahih tentang bacaan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, maka jelaslah tidak ada satupun lafaznya yang disebutkan perkataan Sayyidina. Sekiranya kita telah bersetuju bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam adalah Uswatun Hasanah (contoh ikutan terbaik) dan baginda juga memerintah kita untuk mencontohi baginda dalam bersolat, maka patutkah kita memiliki cara bacaan selawat yang berbeza atau menambah perkataan-perkataan tertentu dalam lafaz yang diajar oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri seolah-olah apa yang diajar oleh baginda kurang sempurna? Tentu sekali tidak! Apatah lagi Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri melarang kita memberi gelaran-gelaran yang berlebihan kepada baginda (termasuk Sayyidina) dan hanya mencukupkan kita dengan gelaran yang Allah ‘Azza Wa Jalla berikan kepadanya iaitu ‘abduhu wa rasuluhu’ (Hamba Allah dan Pesuruh Allah). Ini sebagaimana beberapa hadis berikut:





عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ عَلَى الْمِنْبَرِ



سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:



لاَ تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ



فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ.



Umar al-Khattab radhiallahu’anh berkata di atas mimbar,

aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam telah bersabda: “Janganlah kamu melampaui batas dengan mengagung-agungkan aku sebagaimana kaum Nasrani telah melakukan terhadap Isa anak Maryam. Sesungguhnya tiadalah aku melainkan seorang hamba, maka berkatalah:

Hamba Allah dan Pesuruh Allah.”[14]





عَنْ مُطَرِّفٍ قَالَ: قَالَ أَبِي انْطَلَقْتُ فِي وَفْدِ بَنِي عَامِرٍ



إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْنَا:



أَنْتَ سَيِّدُنَا! فَقَالَ: السَّيِّدُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى!



قُلْنَا: وَأَفْضَلُنَا فَضْلاً وَأَعْظَمُنَا طَوْلاً.



فَقَالَ: قُولُوا بِقَوْلِكُمْ أَوْ بَعْضِ قَوْلِكُمْ وَلاَ يَسْتَجْرِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ.



Mutharrif bin Abdullah radhiallahu’anh berkata bahawa

ayahnya pernah bersama satu rombongan dari Banu Amir pergi berjumpa Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.

Apabila mereka tiba, mereka berkata kepada Rasulullah:

“Anta Sayyidina!” (Anda tuan kami).

Nabi menjawab: “Tuan kamu adalah Allah Tabaraka wa Ta’ala.”

Mereka (Banu Amir) berkata lagi: “Engkau adalah yang paling mulia kemuliaannya, dan yang paling besar keutamaannya.”

Rasulullah menjawab: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.”[15]





عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَجُلاً قَالَ:



يَا مُحَمَّدُ يَا سَيِّدَنَا وَابْنَ سَيِّدِنَا وَخَيْرَنَا وَابْنَ خَيْرِنَا!



فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:



يَا أَيُّهَا النَّاسُ! عَلَيْكُمْ بِتَقْوَاكُمْ! وَلاَ يَسْتَهْوِيَنَّكُمْ الشَّيْطَانُ,



أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ وَاللَّهِ



مَا أُحِبُّ أَنْ تَرْفَعُونِي فَوْقَ مَنْزِلَتِي الَّتِي أَنْزَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ.



Anas bin Malik radhiallahu’anh berkata seorang lelaki

telah datang kepada Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam seraya berkata:

“Ya Muhammad! Ya Sayyidina ibni Sayyidina!

(Wahai Tuan kami dan anak kepada Tuan kami), Wahai yang terbaik di kalangan kami dan anak kepada yang terbaik di kalangan kami!”

Rasulullah menjawab:

“Wahai manusia, hendaklah kalian bertaqwa dan jangan membiarkan syaitan mempermainkan engkau. Sesungguhnya aku adalah Muhammad bin Abdillah, hamba Allah dan Rasul-Nya; dan aku bersumpah kepada Allah bahawasanya aku tidak suka sesiapa mengangkat kedudukan aku melebihi apa yang telah Allah 'Azza wa Jalla tentukan bagiku.”[16]



Ada pihak yang menyatakan larangan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tersebut bukanlah secara mutlak, ini hanyalah kesempurnaan keperibadian baginda dalam bersifat tawadhu’ (merendah diri). Oleh itu penambahan Sayyidina dalam selawat itu adalah sebagai tanda hormat kita kepada baginda dan memperbaiki lagi ibadah selawat tersebut.[17] Wahai pembaca yang budiman, mustahil masih ada perkara berkaitan dengan kesempurnaan ibadah yang yang terluput dari ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:



...Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...[18]



Dengan terwahyunya ayat ini, maka segala bentuk ibadah yang disyari’atkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala telah lengkap lagi sempurna sebagaimana yang telah diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam kepada para sahabatnya untuk diwarisi kepada generasi kemudiannya. Maka apa sahaja amalan yang tidak dikerjakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan sahabatnya maka ia sememangnya bukan sebahagian dari ibadah termasuklah amalan mengucapkan sayyidina dalam bacaan selawat. Ibnu Abbas radhiallahu’anh ketika menafsirkan ayat ini berkata (Tafsir Ibnu Kathir, jld. 2, ms. 12): “Allah memberi khabar kepada Nabi-Nya, bahawa agama keimanan sudah disempurnakan tidak perlu ditambah, dan telah dicukupkan tidak perlu dikurangi, kerana Allah meredhainya dan tidak murka selamanya.”[19] Selain itu Nabi shalallahu 'alaihi wasallam juga telah bersabda:



قَدْ تَرَكْتُكُمْ عَلَى الْبَيْضَاءِ لَيْلُهَا كَنَهَارِهَا



لاَ يَزِيغُ عَنْهَا بَعْدِي إِلاَّ هَالِكٌَ.



Sesungguhnya aku telah meninggalkan kalian di atas ajaran yang putih bersih, yang malamnya laksana siangnya (akibat dari kejelasan ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam - pen), tidak seorangpun yang menyimpang darinya kecuali orang yang binasa.[20]



Sekiranya penambahan sayyidina dalam selawat ini adalah satu amalan mulia yang boleh mendekatkan kita kepada syurga, mungkinkah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidak mengkhabarkan kepada kita hanya kerana baginda itu bersifat tawadhu’? Tentu sekali tidak! Tanggapan mereka menambahkan sayyidina itu sebenarnya mencantikkan lagi amalan selawat adalah bercanggah dengan pegangan al-Syafi’i rahimahullah kerana di dalam kitabnya al-Risalah, beliau berkata: “Sesiapa yang mencipta istihsan (mencipta suatu perkara yang disangka baik), maka dia telah mencipta syara’, dan sesiapa yang mencipta syara’ maka dia telah kafir.”[21] Pernyataan al-Syafi’i ini di sokong pula oleh firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:



Dan mereka menyangka bahawa mereka telah melaksanakan perbuatan perbuatan-perbuatan (ibadah yang mereka cipta mengikut cara mereka sendiri) adalah baik.[22]



Yang sebenar adalah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam memang tidak pernah mengsyari’atkan kata-kata sayyidina dalam selawat kepada baginda. al-Albani rahimahullah berkata:

Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah pernah ditanya orang tentang kalimat selawat untuk Nabi yang dibaca dalam solat dan di luar solat, baik yang wajib mahupun yang sunnah: “Apakah dalam ucapan selawat itu diisyaratkan menggunakan kata-kata Sayyid, seperti orang mengatakan “Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad” atau “ ‘ala sayyidil khalqi” atau ” ‘ala sayyidi waladi” atau hanya menggunakan kata-kata ”Allahumma shalli ‘ala Muhammad” . Manakah yang lebih baik daripada ucapan-ucapan itu? Apakah digunakan kata-kata sayyid atau tidak menggunakannya kerana tidak tersebut dalam hadis-hadis.”



Jawab Ibnu Hajar al-‘Asqalani: “Benar, mengucapkan lafaz-lafaz selawat sebagaimana tersebut dalam riwayat hadis adalah yang benar. Janganlah sampai ada orang yang mengatakan Nabi tidak menggunakan kata-kata sayyid dalam bacaan selawat hanya disebabkan sikap rendah diri (tawadhu’) sahaja sebagaimana juga tidak layak ketika orang mendengar disebut nama Nabi tidak menyahut dengan ucapan shalallahu 'alaihi wasallam. Semua orang Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata tersebut setiap kali mendengar sebutan nama Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Saya (Ibnu Hajar) menyatakan bahawa sekiranya benar bahawa ucapan sayyid itu ada, niscaya disebutkan dalam riwayat dari sahabat dan tabi’in. Akan tetapi, saya (Ibnu Hajar) tidak menemukan adanya riwayat semacam itu dari seorang sahabat atau tabi’in pun, padahal begitu banyak cara bacaan selawat yang diterima dari mereka. al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala sebagai seorang yang paling menghormati Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam juga tidak menyebutkan kata sayyidina dalam awal pembukaan (muqaddimah) kitabnya. Padahal al-Syafi’i adalah contoh ikutan para pengikut mazhabnya. Beliau (al-Syafi’i) hanya menyebutkan ”Allahumma shalli ‘ala Muhammad”.[23]



Tambahan lagi setelah dirujuk kitab al-Umm dalam Bab “Tasyahhud Dan Selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam“ ternyata al-Syafi’i sendiri meriwayatkan hadis-hadis bacaan selawat yang tidak terdapat perkataan sayyidina di dalamnya.[24]

Dewasa ini ramai orang yang tidak ambil peduli untuk benar-benar mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam tatacara berselawat. Malah mereka bukan sekadar menambah lafaz sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam, para sahabat, generasi tabi’in mahupun imam-imam mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat dari lafaz aslinya yang datang dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis baginda yang sahih. Ini kerana Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam adalah makhluk yang paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi Allah ‘Azza Wa Jalla. Maka sewajarnya untuk kita tidak mencontohi ikutan yang lain selain dari baginda shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata Abu Ubaidah:

Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam merupakan sebuah ibadah dan sesuatu bersifat tauqify (terhenti sebagaimana ajaran Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) maka kita semua wajib membaca selawat kepada beliau dengan lafaz yang telah ditetapkan...Kita tidak boleh menambah mahupun menggubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Kerana tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syari’at (iaitu Allah Ta’ala) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati.[25]





[1] al-Ahzaab (33):56

[2] Muhammad Nashiruddin al-Abani, Sifat Shalat Nabi, ms. 205.

[3] Dinukil daripada kitab Marilah Kita Berselawat Ke Atas Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wasallam, Hafiz Firdaus Abdullah, (Jahabersa, Johor Bahru, 1999), ms. 11.

[4] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 280

[5] al-Ahzaab (33):21

[6] Catitan penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan selawat itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan selawat tersebut.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3370.

[8] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’i dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’i, hadis no. 1290.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis ini hasan sahih”, juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3220.

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3369.

[11] Dalam kitab al-Masaa-il, (Darul Qolam, Jakarta 2003), jld.2, ms. 11-29 karangan Abdul Hakim Amir Abdat, beliau telah membawa 8 cara selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dari hadis-hadis yang sahih.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Shahihnya, hadis no. 631.

[13] al-Syafi’i, al-Umm, jld.1, ms. 282. Apa yang biasa diamalkan di Malaysia dan yang tertulis dalam kitab-kitab fardhu ‘ain, terdapat perbezaan antara bacaan Tasyahhud awal dan akhir. Tasyahhud awal hanya memadai dibacakan tahiyat sahaja. Pendapat al-Syafi’i yang sebenar adalah kedua-dua tasyahhud awal dan akhir hendaklah disempurnakan dengan tahiyat dan selawat kepada Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis beliau yang sahih.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 3445.

[15] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 4806. Berkata Ibn Muflih dalam al-Adab al-Syar‘iyyah wa al-Minah al-Mar‘iyyah (والمنح المرعية), jld. 3, ms. 455: “Sanadnya baik (jayyid).”

[16] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no. 12551 (jld. 3, ms. 153) dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan. Juga dikeluarkan oleh al-Nasa’i dalam ‘Amal al-Lail wa al-Yaum dengan sanad yang baik (jayyid) sebagaimana nilai Ibn Muflih dalam al-Furu’, jld. 3, ms. 568.

[17] Catitan penyunting: Agaknya alasan Syaitaniyah seperti inilah yang telah diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sabda baginda: “Berkatalah kamu dengan perkataan kamu itu, akan tetapi janganlah sampai syaitan menjadikan kamu sebagai wakilnya.”

[18] al-Maaidah (5): 3

[19] Dinukil daripada kitab Manhaj Ahli Sunnah Menghadapi Ahli Bid’ah, Ibrahim bin Amir Ar-Ruhaili (edisi terjemahan oleh Abu Ahmad Syamsuddin, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta 2002) ms. 29.

[20] Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya, hadis no: 17142 (jld. 4, ms. 126) dan ia dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan..

[21] Rasul Dahri, Bid’ah dan Percanggahannya, (Jahabersa, Johor Bahru, 1998), ms. 74.

[22] Al-Kahfi (18): 104

[23] Dinukil dari kitab Sifat Shalat Nabi, ms. 216.

[24] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 280-281.

[25] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 162.

Solat-Meletakkan Tangan Di atas dada

MELETAKKAN TANGAN
DI ATAS DADA KETIKA BERDIRI





Din: Assalaamu’alaikum Shah



Shah: Wa’alaikumussalaam Warahmatullah, apa khabar Din?



Din: Baik Alhamdulillah. Shah, boleh aku tanya sikit tak?



Shah: Hmm, tentang apa?



Din: Aku tengok kau solat tadi masa berdiri kau letak tangan kat dadalah, sedangkan sepatutnya kau letak tangan di pusat sebagaimana yang biasa diamalkan.



Shah: Apa yang aku buat itu ada sandarannya dari hadis Nabi yang sahih Din.



Din: Aku bukan apa, Tok Guru aku kata amalan tersebut sesat.



Shah: Kenapa pula sesat?



Din: Menurut guru aku apabila meletakkan tangan di dada ia akan membentuk huruf Lam (ل). Dari huruf lam ini timbulnya perkataan la’ ( لا-Tiada). Jadi apabila dengan meletakkan tangan di dada tanpa kau sedari kau sebenarnya menunjukkan pernyataan La’ Allah (لا الله - Tiada Allah).



Shah: Tapi meletakkan tangan di atas dada itu ada hadis Nabi sebagai dalilnya. Tak mungkin begitu.



Din: Itu apa yang Tok Guru aku cerita.



Shah: Tok Guru kau ada bagi dalil tak untuk menguatkan hujahnya itu?



Din: Ada.



Shah: Apakah dalilnya? Sebab kita dalam Islam jika kita nak bagi hujah mesti dikuatkan dalil dari al-Qur’an atau hadis yang sahih.



Din: Hmm. Nanti aku bagilah.



Beginilah satu kisah benar yang terjadi kepada seorang sahabat penulis sendiri. Sehingga hari ini penulis dan sahabat penulis tersebut masih terfikir bagaimanakah dengan meletakkan tangan di dada ketika berdiri dalam solat membentuk perkataan Lam (ل). Inilah sikap ulama’ su’ (jahat) yang melakukan fitnah yang keji lagi hina. Bagi yang jahil, mereka menerima sahaja tanpa usul periksa ajaran-ajaran yang pelik sebegini akibat telah terbiasa dengan sikap taklid buta yang telah sebati dalam jiwa mereka. Apa sahaja amalan yang tidak biasa mereka amalkan maka dikatakan sesat, “ini bukan dari mazhab kami” atau ungkapan yang paling popular “ini adalah amalan Wahhabi”. Sesungguhnya amalan meletakkan tangan di atas dada ketika berdiri dalam solat ini ada contohnya dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Maka dengan memperlekehkan perbuatan tersebut secara tidak langsung mereka sebenarnya memperlekehkan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Tindakan memperlekehkan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam satu bentuk istihza’[1] tehadap Nabi Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam sendiri. Dan istihza’ ini dicela oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Firman-Nya:



Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu)

tentulah mereka akan menjawab:

"Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main".

Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta),

kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman…[2]



Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat,

mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan.

Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal. [3]





Semoga kita menjauhkan diri dari sikap istihza’ ini.





Dalil Yang Menetapkan Meletakkan Tangan Di Atas Dada



Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam apabila berdiri (qiyam) dalam solat baginda akan meletakkan tangan kanannya di atas belakang tangan kirinya. Adakalanya beliau menggenggam tangan kanannya di pergelangan tangan kirinya. Sahl bin Sa’ad radhiallahu 'anh menerangkan:

كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُونَ أَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدَ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلاَةِ.

Manusia diperintahkan agar meletakkan tangan kanannya

di atas lengannya yang kiri dalam solat.[4]





Demikian juga oleh Wail bin Hujur radhiallahu 'anh:


ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى.



Kemudian meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya.[5]





Dalam sebuah riwayat yang lain beliau menyebut:


ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى كَفِّهِ الْيُسْرَى وَالرُّسْغِ وَالسَّاعِدِ.



Beliau (Nabi shalallahu 'alaihi wasallam) meletakkan lengan kanan pada punggung telapak kirinya, pergelangan, dan lengan kirinya.[6]





Tentang tempat perletakkan tangan pula maka terdapat beberapa pendapat yang antaranya adalah di atas pusat, di bawah pusat, di perut dan di dada. Menurut al-‘Utsaimin rahimahullah: “Pendapat yang lebih dekat kebenarannya adalah meletakkan tangan di atas dada.”[7] Dalilnya adalah hadis Wail bin Hujur radhiallahu 'anh:


صَلَّيْتُ مَعَ النَِّبيِّ صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

فَوَضَعَ يَدَهُ اْليُمْنَى عَلَ يَدَهُ اْليُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ.



“Saya melakukan solat bersama Nabi Shalallahu 'alaihi wasallam maka diletaknya tangan kanannya di atas tangan kirinya di atas dada.”[8]



Tentang diletakkan tangan di atas dada, Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah berkata:

Para ulama’ berpendapat bahawa hikmah yang dapat diambil adalah bahawa meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri merupakan sifat orang yang memohon dengan merendahkan diri, dan lebih mendekatkan kepada ke-khusyu’-an. Sepertinya Imam Bukhari memperhatikan hal ini, sehingga sesudahnya (Bab meletak tangan kanan atas tangan kiri – pen) dia menyebutkan bab tentang khusyu’. Di antara pernyataan yang unik adalah pendapat sebahagian ulama’ bahawa hati[9] merupakan tempat niat, dan telah menjadi kebiasaan seseorang yang hendak menjaga sesuatu maka dia menempatkan tangannya di atas sesuatu yang dijaga.[10]



Tambah Ibnu Hajar lagi bahawa Ibnu Abdil Bar berkata:

Tidak ada perbezaan riwayat dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mengenai hal itu (yakni meletakkan tangan di atas dada – penerj), dan ini merupakan pendapat majoriti sahabat dan tabi’in serta pendapat yang disebutkan oleh Malik dalam kitab al-Muwathta’. Ibnu Mundzir dan lainnya tidak menukil dari Imam Malik selain pendapat ini.[11]



Menurut Abu Ubaidah Masyhur:

Sedangkan para ulama’ mazhab Maliki meriwayatkan tentang sunnahnya meletakkan tangan di dada ketika solat fardhu mahupun solat sunat merupakan hal yang bukan rahsia lagi. Sebab orang-orang hidup pada generasi awal Islam telah diperintahkan untuk melakukannya.[12]



Al-Syaukani di dalam kitabnya Nail al-Awthaar (Jld. 1, ms. 204) berkata:

Tidak ada satu hadispun yang lebih sahih dalam masalah ini (tempat meletakkan tangan – pen) kecuali hadis Wail (bin Hujur) di atas. Riwayat ini benar-benar sesuai dengan perbuatan orang-orang salaf kami, yakni seperti pentafsiran Ali dan Ibn Abbas tehadap firman Allah Ta’ala:



Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan ber-nahar-lah:[13]



Yang dimaksudkan dengan kata nahr dalam ayat tersebut adalah meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri di tempat nahr (menyembelih haiwan) dan di dada.[14]





Maka dengan ini jelas bagi kita semua bahawa meletakkan tangan di atas dada ketika berdiri dalam solat mempunyai dalil yang sahih dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dan ianya juga merupakan salah satu dari pendapat ulama’ Ahlus Sunnah wal Jamaah. Maka seharusnya umat Islam di Malaysia berlapang dada dalam menerima sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ini walaupun ianya tidak biasa diamalkan di sini.







[1] Istihza’ ertinya mengejek, memperolok-olok atau mencemuh.

[2] al-Taubah (9): 65-66

[3] al-Maaidah (5): 58

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 740.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no 401.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, hadis no. 726 dan al-Nasai dalam Sunannya, hadis no. 889. Al-Nawawi menyebut hadis ini dalam al-Majmu’, jld. 2, ms. 269 dan beliau berkata: “Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih.” Turut dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasai, hadis no. 889.

[7] Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah: Bab Ibadah, (edisi terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 357. Selepas ini buku ini akan disebut sebagai “Majmu’ Fatawa: Bab Ibadah”.

[8] Sanad Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Shahihnya, hadis no. 479. Hadis juga disebut oleh al-Nawawi dalam Al-Majmu’, jld. 3, ms. 270; al-Zaila‘i (الزيلعي) dalam Nasb al-Rayah (نصب الراية) fi Takhrij Ahadits al-Hidayah, jld. 1, ms. 433 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Talkhish al-Habir (التلخيص الحبير) fi Takhrij Ahadits al-Rifa‘i al-Kabir (الرافعي الكبير), jld. 405 dan mereka pada zahirnya menerima pensahihan Ibn Khuzaimah. Sanad hadis ini telah dinilai sahih oleh penyemak kitab Shahih Ibn Khuzaimah: Muhammad Musthafa al-‘Azhami.

[9] Qalb atau hati bukanlah organ hati di dalam badan kita tetapi ia adalah organ jantung. Pendapat inilah juga yang di pegang oleh Ibnu Hajar rahimahullah kerana organ jantung terletak di dada.

[10] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 429.

[11] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jld.4, ms. 429.

[12] Dinukil daripada kitab Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 112.

[13] al-Kauthar (108): 2

[14] Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 114.

Bacaan Doa Iftitah Di dalam Solat

CARA MEMBACA DOA IFTITAH



Membaca doa iftitah setelah takbirat al-Ihram merupakan satu tuntutan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Ianya merupakan satu bentuk pujian, sanjungan dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Terdapat sebegitu banyak hadis yang menunjukkan baginda shalallahu 'alaihi wasallam amat menitik beratkan pembacaan doa iftitah ini. Walaupun majoriti ulama’ menyatakan membaca doa iftitah ini hanyalah sunat dan tidak membatalkan solat sekiranya tidak dibaca, namun bagi kita yang benar-benar ingin mengikuti sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam serta mempraktikkan suruhannya sebagaimana sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[1] maka sewajarnya kita tidak meninggalkan doa iftitah ini. Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan bahawa doa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:



لاَ تَتِمُّ صَلاَةٌ لأَحَدٍ مِنْ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعَ الْوُضُوءَ يَعْنِي مَوَاضِعَهُ ثُمَّ يُكَبِّرُ وَيَحْمَدُ اللَّهَ جَلَّ



وَعَزَّ وَيُثْنِي عَلَيْهِ وَيَقْرَأُ بِمَا تَيَسَّرَ مِنْ الْقُرْآنِ.



Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya

sebelum dia bertakbir, memuji Allah 'Azza wa Jalla, menyanjung-Nya,

dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…[2]





Apa yang dapat kita fahami dari hadis di atas adalah, setelah kita bertakbir maka hendaklah kita memuji dan menyanjungi Allah 'Azza wa Jalla melalui pembacaan doa iftitah. Tanpanya maka tidak sempurnalah solat kita.

Kebiasaannya bagi umat Islam di Malaysia, doa iftitah yang diamalkan dalam solat adalah seperti berikut:



اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً



وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَالسَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ



حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِينَ



إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ



لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.



Allah yang Maha Besar dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang. Aku hadapkan mukaku bagi Tuhan yang mencipta tujuh petala langit dan bumi, cenderung kepada penyerahan dan tidaklah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.[3]





Namun begitu, setelah diteliti doa iftitah di atas, maka dapati tidak wujud satu hadispun yang sahih datangnya dari Nabi shalallahu 'alaihi wasallam yang menunjukkan baginda shalallahu 'alaihi wasallam mengajar cara pembacaan sedemikian rupa. Setakat kajian penulis, yang wujud hanyalah hadis-hadis yang seakan-akan sama dengan cara pembacaan di atas tetapi ianya terpisah-pisah dan diambil sekerat sahaja. Mari kita lihat hadis-hadis tersebut:[4]



Pertama:

Dari Ibn 'Umar, dia berkata: “Sedang kami bersolat bersama Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, salah seorang dari kami mengucapkan:



اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.



“Allah yang Maha Agung lagi Maha Besar

dan segala puji bagi Allah sebanyak-banyaknya. Maha suci Allah pagi dan petang.”



Bersabda Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam: “Siapa yang telah mengucapkan kalimat begini dan begini?”

Salah seorang dari kami menjawab: “Saya, wahai Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam.”

Baginda berkata: “Ianya (ucapan tersebut) telah membangkitkan rasa ajaib kepada aku kerana pintu-pintu syurga telah terbuka disebabkan oleh ucapan itu.”

Ibn 'Umar berkata: “Aku tidak pernah meninggalkan ucapan tersebut semenjak mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berkata begitu.”[5]





Kedua:

Dari Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, dia berkata: “Bila Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berdiri hendak mengerjakan solat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya:



وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِي فَطَرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضَ



حَنِيفًا وَمَا أَنَا مِنْ الْمُشْرِكِين.َ



إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِين.َ



لاَ شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنْ الْمُسْلِمِينَ.



اللَّهُمَّ أَنْتَ الْمَلِكُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَنْتَ رَبِّي



وَأَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِي



وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي ذُنُوبِي جَمِيعًا



إِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ



وَاهْدِنِي لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِي لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ



وَاصْرِفْ عَنِّي سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّي سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ



لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِي يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ إِلَيْكَ



أَنَا بِكَ وَإِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ.



“Aku hadapkan wajahku kepada Tuhan yang mencipta seluruh langit dan bumi, dengan sepenuh penyerahan dan bukanlah aku daripada golongan orang yang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.

Tidak ada sekutu bagi-Nya. Demikianlah aku diperintah dan aku tergolong dari golongan Islam.

Ya Allah, Engkaulah Tuhanku dan aku adalah hamba-Mu, aku telah membuat aniaya terhadap diriku dan mengakui kesalahanku, maka ampunilah dosaku kesemuanya, dan tiadalah yang dapat mengampuni dosa-dosaku itu melainkan Engkau.

Dan tunjukilah aku kepada akhlak terbaik, tak ada yang akan menuntun kepada akhlak yang terbaik itu kecuali Engkau; dan jauhkanlah aku dari akhlak yang jelek, tak ada yang dapat menjauhkan aku dari akhlak yang jelek itu melainkan engkau.

Aku penuhi panggilan-Mu ya Allah dan aku patuhi perintah-Mu.

Dan kebaikan itu seluruhnya berada dalam Tangan-Mu sedangkan kejahatan itu tak dapat dipergunakan untuk menghampirkan diri kepada-Mu.

Aku milik-Mu, kepada-Mu-lah yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi, aku meminta ampun dan bertaubat.”[6]





Cara pembacaan yang lazimnya dibacakan di Malaysia adalah hasil penggabungan dan pemotongan kedua-dua hadis di atas. Sekiranya menggabungkan kedua-dua hadis di atas adalah baik untuk dibacakan sebagai doa iftitah dalam solat tentu Nabi shalallahu 'alaihi wasallam akan mengajar kita cara yang sedemikian rupa dan tentu juga para sahabat radhiallahu’anhum serta para tabi’ut at-Tabi’in yang paling awal sekali mengamalkan cara pembacaan tersebut. Namun hakikatnya ia tidak sedemikian rupa. Oleh itu sepatutnya kita berusaha untuk mengamalkan doa iftitah sebagaimana yang telah diajar oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dengan tidak merubahnya dengan penambahan atau pengurangan kepada bentuk pembacaan yang lain. Ini selari dengan perintah baginda shalallahu 'alaihi wasallam untuk mencontohi baginda sepenuhnya dalam tatacara bersolat sebagaimana sabdanya: "Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”[7] Tambahan lagi Allah 'Azza wa Jalla juga berfirman:



Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik,

iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah

dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).[8]





Oleh itu adakah wajar bagi kita untuk membelakangi cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam seorang manusia yang telah dijamin oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai contoh ikutan yang terbaik lantas memilih doa iftitah yang hanya direka cipta oleh insan lain yang tidak terpelihara dari kesalahan (tidak maksum)? Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:



Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shalallahu 'alaihi wasallam)

kepada kamu maka terimalah serta amalkan

dan apa yang ditegah daripada kamu, hendaklah kamu jauhi.[9]





Selain dari dua cara pembacaan doa iftitah di atas, terdapat beberapa lagi bentuk bacaan yang telah diajar oleh baginda shalallahu 'alaihi wasallam yang antaranya adalah seperti berikut:[10]





Pertama:



Berkata Abu Hurairah: “Biasanya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam diam sejenak antara takbir dan bacaan (al-Fatihah).” Aku berkata: “Dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah, diamnya engkau antara takbir dan bacaan, apakah yang engkau ucapkan?” Baginda bersabda: “Aku mengucapkan:



اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ



كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ.



اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنْ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنْ الدَّنَسِ.



اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ.



“Ya Allah, jauhkanlah antara aku dengan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau menjauhkan antara timur dan barat.

Ya Allah, bersihkanlah diriku dari kesalahan-kesalahan sebagaimana pakaian putih dibersihkan dari noda.

Ya Allah, cucilah kesalahan-kesalahanku dengan air, salji dan air embun.”[11]





Kedua:



Dari Abdurrahman bin ‘Auf katanya: “Saya bertanya kepada ‘Aisyah doa apakah yang dibaca Nabi Allah shalallahu 'alaihi wasallam sebagai pembukaan solat bila dia melakukannya di waktu malam.” Jawab beliau: “Sebagai pembukaan bagi solatnya di waktu malam Nabi membaca:



اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ



عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ



أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ



اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ



بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.



“Ya Allah, Tuhan Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata. Engkaulah yang akan menghakimi para hamba-Mu mengenai apa sahaja yang mereka perselisihkan. Dengan izin-Mu berilah aku petunjuk memilih kebenaran dari apa yang mereka perselisihkan. Engkaulah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus.”[12]





Ketiga:



Dari Ibnu Abbas, katanya: “Bila Nabi shalallahu 'alaihi wasallam melakukan solat tahajjud di waktu malam, dia membaca:



اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ



وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ لَكَ مُلْكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ



وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ



وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ مَلِكُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ



وَلَكَ الْحَمْدُ أَنْتَ الْحَقُّ وَوَعْدُكَ الْحَقُّ وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ



وَقَوْلُكَ حَقٌّ وَالْجَنَّةُ حَقٌّ وَالنَّارُ حَقٌّ وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ



وَمُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقٌّ وَالسَّاعَةُ حَقٌّ.



اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ



وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ وَإِلَيْكَ حَاكَمْتُ



فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ



أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ



لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَوْ لاَ إِلَهَ غَيْرُكَ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ.



“Ya Allah, segala puji milik-Mu. Engkaulah Pemelihara seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Raja seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Nur seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu. Engkaulah Pemilik seluruh langit dan bumi serta segenap makhluk yang ada padanya. Segala puji milik-Mu, Engkaulah yang Maha Benar, janji-Mu benar, pertemuan dengan-Mu benar, firman-Mu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, para nabi itu benar, dan Muhammad shalallahu 'alaihi wasallam itu benar dan hari kiamat itu benar.



Ya Allah, hanya kepada-Mu aku berserah diri, dengan-Mu aku beriman dan kepada-Mu aku bertawakal. Hanya kepada-Mu aku bertaubat. Hanya kepada-Mu aku mengadu, dan kepada hukum-Mu aku berpedoman. Oleh kerana itu, ampunilah dosa-dosaku yang lalu dan yang akan datang, yang aku lakukan secara sembunyi-sembunyi atau terang-terangan. Engkaulah yang terdahulu dan Engkaulah yang terakhir. Tiada Tuhan kecuali Engkau (atau selain Engkau) dan tiada daya atau kekuatan kecuali hanya dengan pertolongan-Mu.)”[13]





Terdapat beberapa lagi bentuk doa iftitah yang pernah diamalkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam yang datang dari hadis-hadis baginda yang sahih.[14] Dengan kepelbagaian cara bacaan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam ini, maka tidak sepatutnya kita mempunyai ruang untuk memilih cara pembacaan doa iftitah yang tidak diketahui siapa yang mencipta kaedahnya atau daripada mana sumbernya. Malah al-Syafi’i rahimahullah juga tidak membaca doa iftitah sebagaimana yang lazimnya dibacakan di Malaysia yang mengaku mazhab rasminya adalah mazhab al-Syafi’i. Beliau dalam kitabnya al-Umm (Kitab Induk) telah menggunakan doa iftitah yang diriwayatkan daripada Ali radhiallahu’anh seperti yg telah saya paparkan di atas.[15] Telah berkata al-Syafi’i rahimahullah: “Kalau ditambah sesuatu padanya atau dikurangkan (pada bacaan doa iftitah tersebut – pen), nescaya aku memandangnya makruh.”[16] Sewajarnya bagi umat Islam di Malaysia yang mengaku bermazhab al-Syafi’i untuk akur dengan pendapat pembela sunnah (al-Nashir al-Sunnah) ini. Maka marilah kita sama-sama mengamalkan pembacaan doa iftitah dalam solat kita sebagaimana yang benar-benar diajar oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam selari dengan perintah baginda shalallahu 'alaihi wasallam melalui sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.” [17]









[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.

[2] Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.

[3] Ismail Kamus, Panduan Fardhu ‘Ain (At Tafkir Enterprise, Kuala Lumpur, 1997), ms. 57-58.

[4] Catitan Penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan tersebut.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no. 601.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim di dalam Shahihnya, hadis no. 771.

[7] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.

[8] al-Ahzaab (33):21

[9] al-Hasyr (59): 7

[10] Catitan Penyunting: Di sini hadis-hadis diringkaskan kecuali terhadap bacaan itu sendiri. Ini supaya para pembaca dapat mengamalkan terus bacaan-bacaan tersebut.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 744.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 770.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1120.

[14] Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah dalam kitabnya Sifat Shalat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam telah menurunkan duabelas cara bacaan doa iftitah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam manakala Sayyid Sabiq rahimahullah dalam kitabnya Fikih Sunnah telah menurunkan tujuh contoh bacaan doa iftitah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam.

[15] Shahih Muslim, hadis no. 771.

[16] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jld.1, ms. 252.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.

Niat Di dalam Solat

Dari Hafizfirdaus.com
TIDAK MELAFAZKAN NIAT

SEBELUM MEMULAKAN SOLAT

Antara isu yang sering dipolemikkan adalah penolakan sesetengah pihak terhadap melafazkan niat “Usholli Fardhu (Sahaja aku solat fardhu)….” sebelum mengerjakan ibadah solat. Menurut mereka tindakan ini boleh mencacatkan ibadah solat kerana niat itu adalah rukun dalam solat dan jika ditingggalkan maka terbatallah solat tersebut menurut syara’. Dalil wajibnya niat adalah hadis daripada ‘Alqamah bin Waqqash al-Laitsi radhiallahu 'anhu , dia berkata:



سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ



قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ



إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى.



Aku mendengar Umar bin Khattab berkata di atas mimbar:

“Aku mendengar Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain adalah berdasarkan niat

dan balasan bagi setiap amal manusia sesuai dengan apa yang diniatkan….”[1]



Definisi Niat

Menurut Rasul Dahri:

Niat menurut pengertian bahasa dimaksudkan: “Qasad (maksud yang digerak dan dikehendaki oleh hati), azam (atau ‘azamul qalb, iaitu apa yang telah dicita-citakan di hati) dan iradah (iaitu al-iradatul jazimah, iaitu kehendak keinginan hati dalam keadaan yang sedar).[2]



Adapun menurut syara’, niat adalah: “Berazam (bertekad) untuk melaksanakan ibadah semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah.[3]



Qasad, azam dan iradah tempatnya di hati kerana ini kerja hati (‘amal al-Qalb) bukan kerja lidah. Oleh itu niat tidak perlu dilafazkan atau diucapkan, inilah yang disepakati oleh jumhur ulama’ dan etimologis (ahli ilmu asal-usul kata). Niat juga diertikan: “kehendak, maksud (tujuan) dan keazaman bukan paksaan.[4]



Dalam bukunya Ighatsatu’l Lahfan, Ibnul Qayyim rahimahullah menyatakan:

Niat artinya menyengaja dan bermaksud sungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Dan tempatnya ialah di dalam hati, dan tidak ada sangkut-pautnya sama sekali dengan lisan…[5]



Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah tentang hadis “Tiap-tiap amal perbuatan tidak lain berdasarkan niat..”:

Setiap pekerjaan harus didasari dengan niat. Al-Khauyi mengatakan, “Seakan-akan Rasulullah memberi pengertian bahawa niat itu bermacam-macam sebagaimana perbuatan. Seperti orang yang melakukan perbuatan dengan motivasi ingin mendapatkan redha Allah dan apa yang dijanjikan kepadanya, atau ingin menjauhkan diri dari ancaman-Nya.



Sebahagian riwayat menggunakan lafaz al-Niyat dalam bentuk mufrad (tunggal) dengan alasan, bahawa tempat niat adalah dalam hati sedangkan hati itu satu, maka kata niyat disebutkan dalam bentuk tunggal…[6]



Tambah Ibnu Hajar al-Asqalani lagi:

Imam Nawawi mengatakan, bahawa niat bererti maksud, iaitu keinginan yang ada dalam hati. Tetapi Syaikh al-Karmani menambahkan, bahawa keinginan hati adalah melebihi maksud.[7]



…… Baidhawi berkata: “Niat adalah dorongan hati untuk melakukan sesuatu sesuai dengan tujuan, baik mendatangkan manfaat atau menolak mudarat, sedangkan syari’at adalah sesuatu yang membawa kepada perbuatan yang diredhai Allah dan mengamalkan segala perintah-Nya.”[8]



Dari keterangan di atas dapatlah kita membuat rumusan bahawa: “Setiap amal seseorang mukmin yang terbit dari kehendak, azam, cita-cita dan gerak hatinya yang disedari dan tidak dipaksa, maka itulah yang dinamakan niat.”[9]



Bagaimana Nabi Shalallahu 'Alaihi Wasallam Memulakan Solat

Antara hadis-hadis yang menggambarkan bagaimana baginda shallahu 'alaihi wasallam memulakan solatnya adalah seperti berikut:



عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ



يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيرِ.



Dari Aishah dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka solatnya dengan Takbir.”[10]





عَنْ عَلِيٍّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:



مِفْتَاحُ الصَّلاَةِ الطُّهُورُوَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ.



Dari Ali bahawa Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Kunci solat ialah berwuduk, pembukaannya membaca takbir, dan penutupnya ialah memberi salam.”[11]





أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ:



رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَتَحَ التَّكْبِيرَ



فِي الصَّلاَةِ فَرَفَعَ يَدَيْهِ حِينَ يُكَبِّرُ.



Dari Abdullah ibn Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:

“Aku melihat Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam membuka solatnya dengan takbir, lalu mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir.”[12]



Masih banyak lagi dalil-dalil yang membuktikan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam memulakan solatnya dengan lafaz takbir. Hadis-hadis ini kesemuanya menunjukkan Nabi shalallahu 'alaihi wasallam tidak melafazkan apa-apa perkataan pun sebelum takbir. Maka dengan ini Ahl al-Sunnah berpendirian untuk tidak melafazkan niat seperti “Ushollli Fardhu (Sahaja aku solat fardhu)..” ketika memulakan solat sebagaimana yang kebiasaan diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia. Ini adalah dalam rangka mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam dalam ibadah solat sepertimana yang diwajibkan ke atas kita sebagaimana sabdanya:


صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.[13]



Pandangan Al-Syafi’i Tentang Melafazkan Niat

al-Syafi’i rahimahullah memang terkenal sebagai seorang imam yang teguh dalam berpegang kepada sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Oleh sebab itu beliau telah diberi gelaran al-Nashir al-Sunnah (pembela sunnah). Ahmad bin Hanbal rahimahullah yang juga anak murid al-Syafi’i pernah berkata: “Sungguh al-Syafi`i rahimahullah adalah seorang pembela sunnah.” Menurut Ahmad lagi: “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih mengikut sunnah seperti al-Syafi`i rahimahullah.” Ahmad seterusnya berkata: “Di antara kesungguhan al-Syafi`i rahimahullah yang terpuji adalah apabila dia mendengar hadis yang belum ada padanya, maka dia mengambilnya dan meninggalkan pendapatnya.”[14]

Dengan semangat beliau yang tinggi dalam mencontohi Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam maka tidak aneh sekiranya pandangan beliau tentang apa yang perlu diucapkan ketika hendak memulai solat adalah selari dengan sunnah Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam. Berkata al-Syafi’i rahimahullah dalam kitab beliau al-Umm: “Siapa yang pandai membaca takbir, niscaya tidaklah dia memulakan solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu Akbar.”[15] Menurut Mohammad Abdul Qoder al-Mandeeli: “Adapun orang yang berkata sunat berlafaz (niat) sebelum takbir, maka perkataannya menyalahi perkataan al-Syafi’i sendiri.”[16]



Kekeliruan Tentang Pendapat Imam Al-Syafi’i Mewajibkan Lafaz Niat

Pendapat bahawa al-Syafi’i rahimahullah telah mewajibkan melafaz niat sebelum solat berpunca dari kekeliruan Abu Abdulah al-Zubairi rahimahullah (seorang tokoh bermazhab Syafi’i) dalam memahami kata-kata al-Syafi’i yang berbunyi: “Jika kamu berniat untuk haji dan umrah dianggap memadai sekalipun tidak dilafazkan, tidak seperti solat, tidak dianggap sah kecuali dengan al-Nuthq.” Bagi al-Zubairi al-Nuthq di sini bermaksud dilafazkan niat. Namun begitu maksud al-Nuthq yang sebenar adalah takbiratul ihram iaitu solat itu dimulakan dengan melafazkan takbir. Menurut al-Nawawi rahimahulah:

Berkata para sahabat kami: “Telah berlaku kekeliruan oleh orang yang menyatakannya, kerana bukan itu yang dimaksudkan oleh al-Syafi’i dengan kata al-Nuthq di dalam solat. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan al-Nuthq oleh beliau (al-Syafi’i) adalah takbir.”[17]

Ibn Abi al-‘Izz rahimahullah pula berkata:

Tidak ada seorang ulama’ pun dari imam empat, tidak al-Syafi’i mahupun yang lainnya yang mensyaratkan melafazkan niat. Menurut kesepakatan mereka, niat itu tempatnya di dalam hati. Hanya sahaja sebahagian ulama’ kebelakangan mewajibkan seseorang melafazkan niatnya dalam solat. Dan pendapat ini digolongkan sebagai mazhab al-Syafi’i. Al-Nawawi rahimahullah berkata: “Itu tidak benar.[18]



Pendapat Ulama’ Yang Menolak Memulakan Solat Dengan Melafazkan Niat

Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:

Jika Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam berdiri untuk solat, maka beliau mengucapkan takbir, tanpa mengucapkan apa pun sebelumnya, tidak melafazkan niat dan tidak seorangpun di antara sahabat, tabi’in dan imam yang empat pernah melakukannya. Kebiasaan beliau saat takbiratul ihram adalah melafazkan ‘Allahu Akbar’ tanpa ucapan lain.[19]



Sementara itu menurut Ibnu Taymiyyah rahimahullah dalam al-Fatawa al-Kubra (Jld. 1, ms. 1):

Melafazkan niat secara jahrah (kuat) tidak pernah disyari’atkan walaupun oleh salah seorang ulama’ Muslimin, tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak pernah dilakukan oleh salah seorang dari para khulafa’’ baginda, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat baginda dan juga tidak pernah dilakukan oleh para Salaf al-ummah dan para ulama’nya.[20]

Abu ar-Rabii Sulaiman bin ‘Umar al-Syafi’i rahimahullah berkata:

Mengeraskan suara ketika membaca lafaz niat dan membaca ayat-ayat al-Qur’an[21] di belakang imam bukanlah dari sunnah, sebaliknya makruh. Jika yang dikerjakan itu boleh mengganggu orang lain yang sedang solat maka hukumnya menjadi haram. Sesiapa yang mengatakan bahawa mengeraskan suara semasa melafazkan niat itu sunnah, maka pendapat itu adalah salah. Tidak dihalal kepada sesiapapun untuk mengatakan sesuatu dalam agama Allah tanpa ilmu.[22]

Berkata Abu Abdullah Muhammad bin al-Qasim at-Tunisi al-Maliki rahimahullah:

Niat adalah pekerjaan hati, mengeraskan lafaz niat adalah bid’ah[23], selain itu juga boleh mengganggu penumpuan orang lain.[24]

Berkata ‘Alauddin bin al-‘Attar rahimahullah:

Mengangkat suara semasa berniat sehingga mengganggu orang yang bersolat adalah haram secara ijma’ dan melakukannya adalah bid’ah yang tercela. Jika hal itu dilakukan kerana riak (menunjuk-nunjuk) berarti orang yang mengerjakannya melakukan perkara yang haram sebanyak dua kali (melakukan perbuatan bid’ah dan riak – pen)…Perbuatan macam ini (mengeraskan lafaz niat) tidak pernah dinukil dari Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, tidak dari seorangpun sahabat Nabi, mahupun ulama’ yang benar-benar mengikuti ajaran Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam .[25]

Abu Daud rahimahullah pernah bertanya kepada Imam Ahmad rahimahullah: “Adakah orang yang mendirikan solat wajib melafazkan sesuatu sebelum takbir?” Imam Ahmad menjawab: “Tidak.”[26]

Antara perkara yang sering berlaku di dalam masyarakat kita adalah pengulangan melafazkan niat dan mengangkat takbir berkali-kali kerana adanya perasaan was-was bahawa niat yang dilafazkan itu tidak betul sehingga membatalkan solatnya. Tindakan ini boleh menganggu kekhusyu’kan jemaah lain yang solat berhampiran. Sikap sebegini sebenarnya timbul di atas kejahilan seseorang dan ia merupakan satu perbuatan bid’ah yang tercela.

Berkata al-Suyuti rahimahullah:

“… daripada bid’ah itu adalah, was-was sewaktu berniat dalam solat. Hal ini tidak pernah diperbuat oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam mahupun sahabat beliau. Mereka dulu tidak pernah melafazkan niat solat sedikitpun selain hanya lafaz Takbir. Allah Ta’ala telah berfirman:



Demi sesungguhnya,

adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik…[27] [28]



Al-Syafi’i rahimahullah berkata:

Was-was dalam berniat semasa solat atau bersuci berpunca dari kejahilan atau kerosakan akal.[29]

Ibnu al Jawzi rahimahullah dalam kitabnya Talbis Iblis (ms. 138) berkata:

Di antara kesan negatif mengeraskan lafaz niat adalah mengganggu orang lain. Ada di antara mereka yang membaca ‘Ushali shalaata Kadzaa (aku niat mengerjakan solat ini atau itu). Kemudian dia akan mengulang lafaz itu kerana pada sangkaannya niat tersebut telah batal. Padahal niat itu sendiri tidak pernah batal sekalipun tidak diucapkan. Di antara mereka ada yang bertakbir, kemudian membatalkan takbirnya, lalu bertakbir lagi dan membatalkan takbirnya. Jika imam sudah nak mulai rukuk, orang yang was-was ini akan segera bertakbir dan ikut rukuk. Apa sebenarnya yang diperbuat olehnya? Itu semua adalah godaan iblis yang menghendaki dia tidak mendapatkan keutamaan (mengikut rakaat pertama bersama imam). Ada juga di antara orang yang diserang penyakit was-was bersumpah untuk tidak bertakbir hanya sekali. Ini semua sebenarnya godaan iblis. Syari’at Islam sesungguhnya mudah dan bebas dari hal-hal seumpama itu. Perbuatan seperti ini tidak pernah dikerjakan oleh Nabi mahupun sahabatnya.[30]

Menurut Sayyid Sabiq rahimahullah:

Ungkapan-ungkapan (lafaz niat - pen) yang dibuat-buat (direka – pen) dan diucapkan pada permulaan bersuci (wuduk) dan solat ini, telah dijadikan oleh syaitan sebagai arena pertarungan bagi orang-orang yang diliputi was-was, yang menahan dan menyiksa mereka dalam lingkaran tersebut, dan menuntut mereka untuk menyempurnakannya. Maka anda lihat masing-masing mereka mengulang-ulanginya dan bersusah-payah untuk melafazkan padahal sedemikian itu sama sekali tidak termasuk dalam ibadah solat.[31]

Semoga dengan penjelasan ini maka jelaslah bahawa tindakan Ahl al-Sunnah untuk tidak melafazkan niat bukanlah termasuk dalam perkara yang boleh membatalkan solat mereka malah inilah yang lebih sesuai dengan sunnah Nabi shalallahu 'alaihi wasallam dan mazhab al-Syafi’i rahimahullah. Semoga pembaca budiman dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya untuk mengikuti apa yang sesuai dengan sunnah Rasul shalallahu 'alaihi wasallam. Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman

ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya,

supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,

hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat":

dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya

dan takut melanggar perintah Allah, serta menjaga dirinya

jangan terdedah kepada azab Allah,

maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.[32]







[1] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 1.

[2] Rasul Dahri, Membaca Niat Adalah Wajib, Sunnah atau Bid’ah, ms. 2. Kertas kerja ini telah beliau bentangkan di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi.

[3] Rasul Dahri, Membaca Niat Adalah Wajib, Sunnah atau Bid’ah, ms. 2-3

[4] Rasul Dahri, Membaca Niat Adalah Wajib, Sunnah atau Bid’ah, ms. 3.

[5] Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jld.1, ms. 286.

[6] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari, (edisi terjemahan oleh Gazirah Abdi Ummah, Pustaka Azzam, Jakarta, 2002), jld.1, ms. 18. Seterusnya kitab ini hanya akan disebut sebagai Fathul Baari.

[7] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, ms. 19.

[8] Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, ms. 19.

[9] Rasul Dahri, Membaca Niat Adalah Wajib, Sunnah atau Bid’ah, ms. 6.

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no. 498.

[11] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata: “Hadis ini adalah yang paling sahih dalam bab ini”. Al-Albani menilainya hasan sahih dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no. 3.

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 738.

[13] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.

[14] Dinukil daripada kitab Manhaj Aqidah Asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala oleh Muhammad A.W. al-‘Aqil (edisi terjemahan oleh H. Nabhani Idris, Pustaka asy-Syafi’i, Bogor, 2002), ms. 80.

[15] al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk) (edisi terjemahan oleh Prof. TK. H. Ismail Yakub, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1989), jld.1, ms. 241.

[16] Mohammad Abdul Qoder al-Mandeeli, Persoalan Yang Berkehendak Kepada Melaksanakan Untuk Mengatasi dan Mengubah Adat-Adat Yang Berlaku Dalam Masyarakat Dengan Sangkaan Ibadat, (Makkah al-Mukarramah 1423H), ms. 16.

[17] Dinukil daripada kitab Abu Ubaidah Mashur bin Hasan bin Mahmud bin Salaman, Koreksi Total Ritual Shalat (edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta, 2001) ms. 100.

[18] Dinukil daripada Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 100.

[19] Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zaadul Ma’ad Bekal Menuju Akhirat, (diringkaskan oleh Muhammad Abdul Wahhab at-Tamimi, edisi terjemahan oleh Kathur Suhardi, Pustaka Azzam, Jakarta, 1999) ms. 19.

[20] Dinukil daripada kertas kerja tulisan Rasul Dahri, Membaca Niat, Adakah Wajib, Sunnah atau Bid’ah?, ms 13.

[21] Antara ayat al-Qur’an yang sering dianjurkan untuk dibaca sebelum memulakan solat adalah surah al-Nas. Ini adalah bertujuan untuk menghilangkan gangguan syaitan dan perasaan was-was supaya dapat khusyuk ketika bersolat. Namun begitu amalan ini tidak pernah dianjurkan oleh Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam, para al-Salaf al-Soleh mahupun para imam yang empat. Sekiranya amalan ini benar-benar baik dan bermanfaat kepada manusia nescaya Rasulullah shalallahu 'alaihi wasallam tidak akan lupa untuk mengajarkannya kepada para sahabat baginda dan pasti akan wujud hadis-hadis yang menganjurkannya. Wallahu’alam.

[22] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 98.

[23] Bid’ah dari segi bahasa adalah suatu yang diada-adakan yang tidak ada contoh sebelumnya. Maksud bid’ah dari segi syari’at adalah satu amalan yang diada-adakan dalam agama yang tidak ada dasarnya dari syari’at malah bertentangan dengan syari’at dengan bertujuan untuk membuat aturan baru dan berlebihan dalam beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

[24] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 98.

[25] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 98-99.

[26] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 99.

[27] al-Ahzaab (33): 21

[28] Dinukil daripada buku Mohd Asri Zainul Abidin, Bid’ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami (Jahabersa, Johor Bahru, 2005, ms. 44.

[29] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 99.

[30] Dinukil daripada buku Koreksi Total Ritual Shalat, ms. 99-100.

[31] Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, jld.1, ms. 286.

[32] al-Nuur (24): 51-52

Catitan penyunting: Kebanyakan ahli fiqh selepas kurun-kurun pertengahan daripada keempat-empat mazhab mensunatkan lafaz niat dengan lisan (mulut). Akan tetapi:

1. Mereka tidak mengemukakan mahupun memiliki sandaran yang jelas daripada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk mengatakan “sunat melafazkan niat secara lisan”.

2. Mereka menyelisihi pendapat para imam mazhab mereka yang asal serta tokoh-tokoh awal daripada mazhab mereka sendiri. Para imam mazhab yang asal, iaitu al-Syafi’i, Malik, Abu Hanifah dan Ahmad, serta para tokoh mazhab yang awal, tidak seorang jua yang diketahui menganjurkan lafaz niat secara lisan.

3. Lafaz niat yang disunatkan oleh para ahli fiqh kebelakangan hanya sekadar “Inilah solat zohor aku” atau “Inilah puasa sunat Isnin aku” sebagai sesuatu yang menguatkan apa yang ada di dalam hati. Ia amat jauh daripada lafaz niat yang diajar sekarang ini, yang amat panjang, dwi bahasa dan disertai dengan pelbagai syarat tambahan.