Surah Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ianya diturunkan dua kali. Ianya adalah surah yang teragung dalam Quran. Keseluruhan isi kandung Quran berada dalam surah Fatihah ini. Kerana itulah ianya dinamakan Ummul Quran. Maksud/Dakwa surah Fatihah ini terdapat di dalam ayat: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.
Tiga ayat pertama surah al-Fatihah ini adalah puji-pujian kepada Allah. Ayat keempat adalah antara kita dan Allah. Dan ayat seterusnya adalah untuk kita sahaja. Ini kita dapat tahu dari satu Hadis Qudsi berkenaan surah ini yang akan kita bincangkan nanti.
Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ianya adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dan dengan al-Fatihah itu dibukakan bacaan di dalam solat. Ia juga disebut Ummul Kitab, as-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan al-Qur-anul Azhim.
Ia juga disebut dipanggil dengan sebutan al-Hamdukerana Nabi ada meriwayatkan firman Allah dalam hadis Qudsi: “Aku membahagi solat antara diriKu dan hambaKu menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah berfirman; Aku telah dipuji oleh hambaKu.”
Dan surah ini juga dipanggil ash-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat. Ia juga disebut dengan nama asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadis: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”
Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadis yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi bersabda: “Dari mana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”
Abu Hurairah pernah meriwayatkan satu hadis dari nabi: “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca ummul Quran, maka solatnya itu tidak sempurna, tidak sempurna, tidak sempurna.”
Abu Hurairah berkata lagi: “Kami berada di belakang imam.” Dia menambah: “Bacalah al-Fatihah itu di dalam hatimu, kerana aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: “Allah berfirman: “Aku telah membahagi solat menjadi dua bahagian antara diriKu dengan hambaKu. Dan bagi hambaKu apa ia minta: Jika ia mengucapkan الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, maka Allah berfirman: “HambaKu telah memujiKu. Dan jika ia mengucapkan: الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ, maka Allah berfirman: HambaKu telah menyanjungKu. Jika ia mengucapkan مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ, maka Allah berfirman: HambaKu telah memuliakanKu. Dan jika ia mengucapkan إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ maka Allah berfirman: “Inilah bahagian antara diriKu dan hambaKu, dan untuk hambaKu apa yang ia minta. Dan jika ia mengucapkan اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ maka Allah berfirman: “Ini untuk hambaKu dan bagi hambaKu pula apa yang ia minta.”